Thursday 20 August 2015


  NOTA PANTAS ! 
Faktor kejatuhan harga kopi .

Perkembangan Perusahaan Getah
    




KEJATUHAN HARGA GETAH

Sebab kejatuhan harga getah:

  • Amerika telah menggunakan kira-kira 77% daripada pengeluaran getah dunia dan telah menggurangkan penggunaan getah kerana perusahaan keretanya dihadkan demi menumpukan perhatian kepada pengeluaran alat-alat kelengkapan perang.
  • Kekurangan pengangkutan perkapalan semasa peperangan telah menjejaskan eksport getah ke Amerika Syarikat dan Eropah.
  • Apabila perang tamat, pengeluaran getah terlalu banyak sehingga menyebabkan permintaan adalah terhad,
  • Ini menyebabkan harga getaha jatuh menjunam sedangkan kos pengeluaran masih tinggi. 

Kemelesetan harga getah yang jatuh telah membimbangkan kerajaan Inggeris kerana masalah ini memburukkan lagi masalah kawangan kerajaan yang terpaksa pembayaran kembali hutang peperangan kepada Amerika yang telah membantunya dalam peperangan.
     
           
Perang dunia pertama yang telah berlaku dari tahun 1914-1918
yang telah membawa kemusnahan yang besar. 
         
Perang Dunia Pertama telah menyebabkan kejatuhan harga getah. Harga getah telah jatuh kepada 20 sen sepaun pada tahun 1920 berbanding dengan 85 sen pada tahun 1918. Pada 1922 Rancangan Skim Stevenson telah diperkenalkan untuk menghadkan keluaran getah bagi meninggikan harga getah. Rancangan ini kurang berjaya kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari negara-negara pengeluar getah. Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1927 hingga tahun 1932 telah menyebabkan harga getah telah mengalami kejatuhan yang teruk. Harga getah telah jatuh kepada 9 sen sepaun pada tahun 1930-an. Kejatuhan harga getah yang teruk telah menyebabkan  negara-negara pengeluar telah bersetuju untuk mengadakan perundingan bagi mangatasi masalah tersebut. Hasil daripada perundingan tersebut, negara-negara pengeluar getah dunia mendatangani Perjanjian Peraturan Getah Antarabangsa pada bulan Mei tahun 1934. Rancangan ini telah dianggotai oleh hampir semua pengeluar getah dunia termasuk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-china, Sri Lanka dan India.

Rancangan Skim Stevenson (1922-1928)
Rancangan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran dan menstabilkan harga getah. Kesan daripada sekatan ini adalah pada 1928 harga getah meningkat antara 35-40 sen sepaun. Setiap negara pengeluar getah dihadkan kepada 60% . Pengeluaran dikurangkan dengan mengurangkan hari menoreh dan kenalkan dengan sistem kupon untuk tentukan jualan getah pekebun kecil. Tanah Melayu juga telah mengurangkan hasil pengeluaran hasil getah dari 50% kepada 38%. Rancangan ini tidak berjaya kerana tidak disertai oleh negara pengeluar terbesar iaitu Indonesia. Pengeluaran getah secara berlebihan telah menyebabkan kerugian kepada penoreh di Tanah Melayu. Oleh itu, rancangan itu telah dibatalkan pada tahun 1928.

Perjanjian Peraturan Getah Antarabangsa (1934-1943)
Negara-negara anggota telah mengeluarkan kira-kira 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1934. Kuota eksport telah ditetapkan untuk setiap anggota tersebut. Penanaman baru dan penanaman semula tidak digalakkan. Atas usaha ini, harga getah telah meningkat daripada 30 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 45 sen sepaun pada tahun 1937 dan seterusnya menjadi stabil.

Faktor-faktor rancangan ini berjaya:-

  • Hampir semua negara pengeluar getah dunia telah menganggotai dan mengikuti semua peraturan yang telah ditetapkan.
  • Kemelesetan ekonomi dunia telah berakhir menjelang pertengahan tahun 1930-an dan permintaan getah dunia semakin bertambah.
  • Ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat dan kemajuan dalam industri automobil menambahkan penggunaan getah kepada 80% daripada pengeluaran getah dunia.  

Akhir pembacaan pembaca dapat menyatakan :-
  • Faktor penyebab kejatuhan harga getah.
  • Inisiatif yang diambil oleh British dalam menghadapi krisis ini
  • Faktor mengapa rancangan British berjaya.

SELAMAT MENBACA !   

Wednesday 19 August 2015

PERUSAHAAN GETAH

ASAL USUL GETAH.

             Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun1880-an. Sebelumnya tanaman yang popular ialah kopi, gambir dan lada hitam. Pada tahun 1876, Pengarah Taman Kew di London iaitu Joseph Hooker telah menghantar Henry Wickham ke Brazil untuk mendapatkan bijih benih getah. Sebanyak 70 ribu bijih benih getah dihantar ke England dan disemai di Taman Kew, London. Tiga ribu bijih benih dari Taman Kew kemudian dihantar ke tanah jajahan British terutama Sri Lanka dan Singapura. Pada tahun 1877, 22 ribu bijih benih dibawa masuk ke Singapura dan ditanam di Taman Botanical Singapura dan diperkarangan rumah Sir Hugh Low (Residen Perak) di Kuala Kangsar. H.N Ridley yang menjadi Pengarah Taman Botanical Singapura sejak 1888 memainkan peranan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah memainkan peranan dengan menjalankan penyelidikan dan menggalakkan penduduk Tanah Melayu menanam getah. Pada mulanya, galakan beliau tidak mendapat sambutan tetapi menjelang abad ke-20, tanaman getah mula diminati oleh orang ramai.     

PERKEMBANGAN

Perusahaan getah telah berkembang pesat pada awal abad ke-20 berikutan kejatuhan perusahaan kopi pada tahun 1890-an. Menjelang tahun 1890-an pokok kopi telah diserang oleh penyakit. Tambahan pula selepas tahun 1895 harga kopi telah jatuh akibat penawaran yang berlebihan dari Brazil. Oleh itu , kebun-kebun dan ladang-ladang getah telah dibuka dengan banyaknya berikutan kenaikan harga getah. Kebanyakkan kawasan getah terletak di sepanjang pantai barat di antara negeri Perak dan Johor. Penanaman getah secara besar-besaran untuk perdagangan tidak berlaku dengan cepat. Getah mula menjadi tanaman perdagangan mulai tahun 1900 setelah perindustrian kereta mulai pesat membangun.

Perusahaan getah pada abad ke-20.
Perkembangan perusahaan getah adalah disebabkan oleh peranan H.N Ridley telah dilantik sebagai Pengarah Taman Botanikal Singapura. Beliau sangat berminat dengan pokok getah dan telah memperkenalkan teknik menoreh iaitu cara torehan sistem ibedem atau sistem tulang ikan herring pada tahun 1897.

H.N. RIDLEY yang memperkenalkan teknik
torehan tulang ikan herring.
Beliau juga telah memperkenalkan cara mengangkut anak benih secara membungkus dalam arang yang lembap dan juga menjalankan kempen menanam getah secara aktif di kalangan peladang kopi, tebu, gambir dan lain-lain.

Perkembangan perusahaan kereta dan barangan elektrik juga telah menggalakkan perkembangan perusahaan getah. Pertambahan permintaan yang pesat telah menyebabkan harga getah telah naik berlipat kali ganda. Pada tahun 1910 harga getah telah mencapai paras 41.25 sepaun berbanding dengan 45 sen sepaun dalam tahun 1900. Situasi ini telah menggalakkan lebih ramai pemodal Eropah untuk melibatkan diri dalam perusahaan getah. Mereka telah menubuhkan firma-firma yang besar yang terdiri daripada rumah-rumah agensi dan syarikat-syarikat getah seperti Guthrie dan Harrison & Crossfield.

Penubuhan Institut Penyelidikan Getah (RRI) pada tahun 1926 telah banyak memberi sumbangan kepada  perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Institusi ini bertanggungjawab membuat penyelidikan dalam pencantuman tunas, perumputan pilihan, rawatan tanah dan mencari kegunaan getah yang baru. Institut ini telah menjadi pusat penyelidikan getah dunia.

             Faktor penting perkembangan perusahaan getah ialah galakan kerajaan British. Antara langkah kerajaan British ialah dengan menurunkan sewa tanah sehingga 10 sen seekar selama 10 tahun untuk tujuan penanaman getah. Selain itu pihak British memberi konsesi tanah kepada syarikat atau orang perseorangan selaras dengan Enakmen Tanah Negeri Melayu. Selain cukai eksport getah yang rendah, penubuhan tabung pinjaman adalah sebagai kemudahan kredit kepada syarikat atau orang perseorangan dengan mengenakan kadar bunga yang rendah. Di samping itu penyediaan infrastruktur dan kemasukan buruh-buruh dari negara asing turut membantu perkembangan perusahaan getah.

             Pada tahun 1905 kira-kira 40000 ekar tanah di Semenanjung Tanah Melayu telah ditanam dengan getah. Keluasan kawasan getah terus meningkat kepada 1 juta ekar pada tahun 1910. Mejelang tahun 1919 Tanah Melayu telah mengeksport hampir 200 ribu tan getah iaitu separuh daripada jumlah eksport dunia. Sebahagian besar keluaran getah datang dari negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Selepas tahun 1920 harga getah telah menurun berikutan kemelesetan ekonomi dunia dan juga keluaran yang berlebihan dari negara pengeluar terutamanya dari Indonesia dan negara Thai .

Kejatuhan harga getah di pasaran dunia 

UJI MINDA !

  • Siapakah yang mula memperkenalkan pokok getah di tanah melayu ?
  • Apakah teknik yang telah dicipta oleh H.N.Ridley ?
  • Apakah institut yang bertanggungjawab untuk melakukan penyelidikan terhadap pokok getah ?

SELAMAT MENCUBA !