Wednesday 19 August 2015

PERUSAHAAN GETAH

ASAL USUL GETAH.

             Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun1880-an. Sebelumnya tanaman yang popular ialah kopi, gambir dan lada hitam. Pada tahun 1876, Pengarah Taman Kew di London iaitu Joseph Hooker telah menghantar Henry Wickham ke Brazil untuk mendapatkan bijih benih getah. Sebanyak 70 ribu bijih benih getah dihantar ke England dan disemai di Taman Kew, London. Tiga ribu bijih benih dari Taman Kew kemudian dihantar ke tanah jajahan British terutama Sri Lanka dan Singapura. Pada tahun 1877, 22 ribu bijih benih dibawa masuk ke Singapura dan ditanam di Taman Botanical Singapura dan diperkarangan rumah Sir Hugh Low (Residen Perak) di Kuala Kangsar. H.N Ridley yang menjadi Pengarah Taman Botanical Singapura sejak 1888 memainkan peranan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah memainkan peranan dengan menjalankan penyelidikan dan menggalakkan penduduk Tanah Melayu menanam getah. Pada mulanya, galakan beliau tidak mendapat sambutan tetapi menjelang abad ke-20, tanaman getah mula diminati oleh orang ramai.     

PERKEMBANGAN

Perusahaan getah telah berkembang pesat pada awal abad ke-20 berikutan kejatuhan perusahaan kopi pada tahun 1890-an. Menjelang tahun 1890-an pokok kopi telah diserang oleh penyakit. Tambahan pula selepas tahun 1895 harga kopi telah jatuh akibat penawaran yang berlebihan dari Brazil. Oleh itu , kebun-kebun dan ladang-ladang getah telah dibuka dengan banyaknya berikutan kenaikan harga getah. Kebanyakkan kawasan getah terletak di sepanjang pantai barat di antara negeri Perak dan Johor. Penanaman getah secara besar-besaran untuk perdagangan tidak berlaku dengan cepat. Getah mula menjadi tanaman perdagangan mulai tahun 1900 setelah perindustrian kereta mulai pesat membangun.

Perusahaan getah pada abad ke-20.
Perkembangan perusahaan getah adalah disebabkan oleh peranan H.N Ridley telah dilantik sebagai Pengarah Taman Botanikal Singapura. Beliau sangat berminat dengan pokok getah dan telah memperkenalkan teknik menoreh iaitu cara torehan sistem ibedem atau sistem tulang ikan herring pada tahun 1897.

H.N. RIDLEY yang memperkenalkan teknik
torehan tulang ikan herring.
Beliau juga telah memperkenalkan cara mengangkut anak benih secara membungkus dalam arang yang lembap dan juga menjalankan kempen menanam getah secara aktif di kalangan peladang kopi, tebu, gambir dan lain-lain.

Perkembangan perusahaan kereta dan barangan elektrik juga telah menggalakkan perkembangan perusahaan getah. Pertambahan permintaan yang pesat telah menyebabkan harga getah telah naik berlipat kali ganda. Pada tahun 1910 harga getah telah mencapai paras 41.25 sepaun berbanding dengan 45 sen sepaun dalam tahun 1900. Situasi ini telah menggalakkan lebih ramai pemodal Eropah untuk melibatkan diri dalam perusahaan getah. Mereka telah menubuhkan firma-firma yang besar yang terdiri daripada rumah-rumah agensi dan syarikat-syarikat getah seperti Guthrie dan Harrison & Crossfield.

Penubuhan Institut Penyelidikan Getah (RRI) pada tahun 1926 telah banyak memberi sumbangan kepada  perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Institusi ini bertanggungjawab membuat penyelidikan dalam pencantuman tunas, perumputan pilihan, rawatan tanah dan mencari kegunaan getah yang baru. Institut ini telah menjadi pusat penyelidikan getah dunia.

             Faktor penting perkembangan perusahaan getah ialah galakan kerajaan British. Antara langkah kerajaan British ialah dengan menurunkan sewa tanah sehingga 10 sen seekar selama 10 tahun untuk tujuan penanaman getah. Selain itu pihak British memberi konsesi tanah kepada syarikat atau orang perseorangan selaras dengan Enakmen Tanah Negeri Melayu. Selain cukai eksport getah yang rendah, penubuhan tabung pinjaman adalah sebagai kemudahan kredit kepada syarikat atau orang perseorangan dengan mengenakan kadar bunga yang rendah. Di samping itu penyediaan infrastruktur dan kemasukan buruh-buruh dari negara asing turut membantu perkembangan perusahaan getah.

             Pada tahun 1905 kira-kira 40000 ekar tanah di Semenanjung Tanah Melayu telah ditanam dengan getah. Keluasan kawasan getah terus meningkat kepada 1 juta ekar pada tahun 1910. Mejelang tahun 1919 Tanah Melayu telah mengeksport hampir 200 ribu tan getah iaitu separuh daripada jumlah eksport dunia. Sebahagian besar keluaran getah datang dari negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Selepas tahun 1920 harga getah telah menurun berikutan kemelesetan ekonomi dunia dan juga keluaran yang berlebihan dari negara pengeluar terutamanya dari Indonesia dan negara Thai .

Kejatuhan harga getah di pasaran dunia 

UJI MINDA !

  • Siapakah yang mula memperkenalkan pokok getah di tanah melayu ?
  • Apakah teknik yang telah dicipta oleh H.N.Ridley ?
  • Apakah institut yang bertanggungjawab untuk melakukan penyelidikan terhadap pokok getah ?

SELAMAT MENCUBA !

3 comments: